Pak Man Telo ialah nama gelaran kepada
Osman Hamzah, seorang pengendali skim cepat kaya yang paling popular di
Malaysia pada era 1980-an.
Skim cepat kaya – biasanya beroperasi secara haram – menerima wang
deposit daripada orang ramai (pelabur) dengan menjanjikan pulangan
dividen yang besar kepada mereka dalam tempoh yang singkat.
Pak Man Telo dikatakan menjalankan operasi skim cepat kaya yang dinamakan Skim Pestama Berhad sejak penghujung dekad 1970-an.
Skim cepat kaya tersebut juga dikenali dengan nama Skim Pak Man Telo.
Pak Man Telo berasal dari Taiping, Perak. Beliau pernah bertugas sebagai
wartawan akhbar Warta Negara pada 1960-an dan kemudian menjadi wartawan
sambilan di Bernama pada 1970-an sebelum menceburi ‘bidang’ skim cepat
kaya.
Sejak beroperasi pada hujung 1970-an, Skim Pak Man Telo semakin
meningkat popular dan mendapat kepercayaan daripada orang ramai kerana
ia dikatakan berjaya mengekalkan pembayaran dividen dengan lancar kepada
setiap pelaburnya dalam tempoh bertahun-tahun lamanya.
8 Mac 1992
Namun kelancaran operasi Skim Pak Man Telo mula goyah pada penghujung
dekad 1980-an. Pada 1 Oktober 1989, beberapa pegawai dari Bank Negara
Malaysia (BNM) telah menyerbu rumah Pak Man Telo di Taiping bagi
menyiasat kegiatan skim cepat kaya yang dikendalikannya.
BNM menyerbu rumah Pak Man Telo buat kali kedua pada 23 November 1989
dan merampas wang tunai hasil deposit orang ramai sebanyak RM1.7 juta.
Dengan bukti yang ada, Pak Man Telo berserta isterinya (Maimunah Taib)
dan anak lelaki mereka (Abdul Rahman Osman) bakal menghadapi masalah.
Memetik sumber dari sebuah blog, berikut ialah rentetan detik-detik terakhir Skim Pak Man Telo:
11 Januari 1990 – Pak Man Telo dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan
melanggar Akta Bank & Industri Kewangan 1989 kerana mengambil
deposit berjumlah RM20 juta daripada orang ramai tanpa memiliki lesen.
Isteri dan anak lelaki Pak Man Telo pula dituduh bersubahat. Mereka
bertiga tidak mengaku bersalah. Pak Man Telo dibebaskan dengan ikat
jamin RM1 juta dan pasportnya dirampas, manakala isterinya dan anak
lelaki mereka dibebaskan dengan ikat jamin setiap seorang RM200 ribu
dengan seorang penjamin. Kes mereka bakal dibicarakan.
13 Mac 1990 – Pak Man Telo, isterinya dan anak lelaki mereka dibicarakan
di mahkamah. Pak Man Telo mengaku bersalah atas tuduhan mengambil
deposit tanpa memiliki lesen. Hukuman ke atas Pak Man Telo akan
dijatuhkan keesokan harinya. Isteri dan anak lelaki Pak Man Telo
dibebaskan. Hakim memerintahkan supaya wang tunai RM1.7 juta yang
dirampas dari rumah Pak Man Telo dipulangkan kepadanya kerana tiada
peruntukan yang membolehkan BNM berbuat demikian.
14 Mac 1990 – Pak Man Telo dijatuhkan hukuman denda RM250 ribu atau
setahun penjara. Beliau membayar denda itu dengan wang tunai. Walaupun
Pak Man Telo bersalah, tetapi para penyokongnya yang berada di mahkamah
menyambut ‘kebersalahan’ Pak Man Telo dengan penuh kegembiraan (lihat
gambar di atas) dan berkali-kali melaungkan “Hidup Pak Man”! Para
pemerhati menjangka yang Skim Pak Man Telo akan hancur selepas itu
tetapi sebaliknya skim cepat kaya itu telah mendapat pendedahan yang
semakin meluas dan menjadi sangat popular.
April hingga Ogos 1990 – Skim Pak Man Telo beroperasi seperti biasa,
deposit tetap diterima daripada orang ramai yang jumlahnya semakin
meningkat. Pulangan dividen berjumlah 10 peratus daripada nilai
pelaburan telah dibayar tanpa gagal, malah kadar dividen itu kemudiannya
telah dinaikkan kepada 12 peratus! Mungkin ramai orang yang berjaya
menjadi kaya dengan cepat dalam tempoh ‘gemilang’ itu.
September 1990 – Para pelabur Skim Pak Man Telo mula mengesan yang
pulangan dividen mereka sudah tidak dimasukkan ke dalam akaun bank
seperti bulan-bulan sebelumnya. Ada sesetengah pelabur pula hanya
menerima separuh daripada pulangan dividen yang sepatutnya. Manakala
pelabur-pelabur yang menerima pulangan dividen melalui cek pula
mendapati ia adalah ‘cek tendang’.
19 September 1990 – Para pelabur menyerbu rumah Pak Man Telo di Taiping
bagi meminta penjelasan mengenai status pelaburan mereka.
20 September 1990 – Pak Man Telo mengumumkan penurunan kadar dividen
daripada 12 peratus kepada cuma 5 peratus. Beliau memberi alasan bahawa
ia berpunca daripada kemelesetan ekonomi dunia akibat Perang Teluk (yang
meletus pada 2 Ogos 1990). Selain itu beliau menyalahkan kejadian
penyelewengan di kalangan “ajen-ajen”.
15 Januari 1991 – Keadaan semakin teruk, Pak Man Telo gagal membayar
pulangan dividen yang dijanjikan. Para pelabur berkerumun di rumahnya
bagi menuntut kembali wang pelaburan masing-masing. Kekecohan terjadi
dan kereta Pak Man Telo turut dirosakkan.
28 Februari hingga 5 Mac 1991 – Enam orang lelaki telah menculik anak
lelaki Pak Man Telo, Abdul Razak Affendi (19 tahun), dan mengurungnya di
Hotel Tropicana, Kuala Lumpur, namun mereka semua berjaya diberkas oleh
pihak polis.
15 Mac 1991 – Para penculik anak Pak Man Telo telah dihadapkan ke mahkamah.
6 April 1991 – Seorang pelabur Skim Pak Man Telo akhirnya membuat
laporan polis mengenai penyelewengan yang berlaku. Pak Man Telo kemudian
telah ditahan selama beberapa minggu oleh pihak polis dari Bukit Aman,
Kuala Lumpur. Selepas itu Pak Man Telo telah dibuang daerah di Kuala
Terengganu, Terengganu.
17 Julai 1991 – Hasil siasatan lanjut, Bank Negara Malaysia telah
mendakwa Pak Man Telo di mahkamah atas tuduhan mengambil deposit
sebanyak RM99.09 juta daripada orang ramai (dianggarkan 50 ribu orang)
tanpa memiliki lesen. Pak Man Telo tidak mengaku bersalah dan minta
dibicarakan. Beliau dibenarkan ikat jamin sebanyak RM2 juta sementara
menunggu perbicaraan pada awal 1992.
2 Mac 1992 – Setelah perbicaraan selesai, Pak Man Telo yang ketika itu
berusia 65 tahun telah didapati bersalah buat kali kedua, dan mahkamah
menjatuhkan hukuman ‘penjara setahun’ dan ‘denda RM500 ribu atau penjara
setahun’.Pak Man Telo akhirnya merengkok dalam penjara selama setahun
bermula pada tarikh beliau ditahan (17 Julai 1991). Bagi hukuman kedua,
Pak Man Telo gagal membayar denda RM500 ribu dan beliau dipenjarakan
lagi selama setahun bermula pada 2 Mac 1992.
Akhbar melaporkan kes skim cepat kaya Pak Man Telo sebagai “salah satu
skandal kewangan yang terbesar” di Malaysia, setanding dengan kes
Bumiputra Malaysia Finance (BMF) dan kehilangan lebih RM22 juta dari
Bank Negara Malaysia.
Bezanya, Pak Man Telo hanyalah seorang bekas wartawan dan bukanlah pakar
dalam bidang ekonomi atau pun berkemahiran dalam sistem kewangan,
tetapi dengan hanya bersandarkan kepercayaan daripada orang ramai,
beliau mampu ‘berskandal’ (walaupun akhirnya tumpas) melibatkan jumlah
wang yang sangat melampau.
Nota tambahan:
Menurut Kamus Dewan, skim bermaksud “rancangan”, dan skim cepat kaya
bermaksud “skim pelaburan yang kononnya boleh memberikan pulangan
(keuntungan) yang segera dan sangat lumayan”.
Asal usul nama gelaran “Pak Man Telo” (Osman Hamzah) tidak diceritakan
dalam artikel yang dirujuk. Dalam arena hiburan tempatan, seorang
pelawak pentas pada hujung 1980-an pernah menggunakan nama Pak Man Telo
(beliau pernah berlakon filem Janda Meletup pada 1990), tetapi beliau
bukanlah Osman Hamzah.
Selain Skim Pestama Berhad (Skim Pak Man Telo) yang secara haram
mengumpul sebanyak RM99.09 juta wang deposit orang ramai, terdapat
banyak lagi skim cepat kaya yang pernah beroperasi di Malaysia sehingga
awal 1992, antaranya ialah:
Skim 350 (mengumpul deposit RM70 juta)
Skim Tingcon Credit Development Sdn Bhd (RM60 juta)
Skim Permata Bakti (RM30 juta)
Skim 120 (RM20 juta)
Skim Permata Mahir (RM19 juta)
Skim Sri Emas Enterprise (RM10 juta)
sumber :penpatah
0 Komentar untuk " Sejarah Pelopor Skim Cepat Kaya Teragung – Pak Man Telo "