Kisah Benar Kehidupan Jep Sepah Sebelum Jadi Pelawak
| Mohd Nadzri Zainal Abidin atau Jep Sepah menceritakan keperitan
hidupnya sebelum begelar pelawak satu ketika dahulu. Menurut Jep, dia
dan dua teman serumahnya yang juga merangkap anggota bersekutu kumpulan
Sepah terpaksa mengikat perut demi menyara kehidupan pada awal waktu
menjadi artis.
Segenggam duit syiling pernah menjadi
bantuan saat akhir Jep ketika kelaparan sewaktu mula-mula melangkah
masuk ke dalam arena seni lima tahun lalu. Lawak hambar bersama dua
anggota kumpulan Sepah ketika itu iaitu Shuib dan Mamat pula penawar
paling mujarab mengubat rasa putus asa bergelar penghibur.
“Saya pernah hampir berputus asa, hati
ini mahu saja pulang semula ke kampung di Kulai, Johor. Bagaimanapun,
saya bangkit dan membulatkan tekad serta yakin bahawa Allah sentiasa ada
bersama dan tiada perkara yang mustahil dilakukan dalam hidup,” kata
Jep.
Dia yang ditemui wartawan kosmo sewaktu
mencuri sedikit masanya yang sibuk dengan sesi rakaman program popular
Karoot Komedia X musim kedua di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, Kuala
Lumpur kemudian melanjutkan cerita.
“Ketika mula-mula bergelar artis kami
tiada mentor untuk membuat rujukan atau meminta pertolongan. Sejujurnya
kami terumbang-ambing dan pernah suatu ketika kami bertiga mengumpulkan
saki-baki duit syiling yang ada untuk membeli nasi selepas seharian
berlapar.
“Alhamdulillah, proses itu
perlahan-lahan mendidik saya dan saya selesa dengan kedudukan sekarang.
Saya tidak perlu terbang terlalu tinggi kerana takut terlupa cara mahu
turun.”
Tambah Jep lagi, realitinya, permulaan
Jep sebagai pelawak bertitik-tolak daripada rasa tercabar dengan
teman-teman sekerja ketika bertugas sebagai krew di bahagian bagasi
penerbangan tambang murah ketika awal usia 25 tahun.
“Takdir mungkin mengubah angin hidup
saya. Saya tidak pernah terfikir atau memilih kerjaya sebagai pelawak,
tapi jalan hidup saya berlaku secara kebetulan.
“Saya mahu jadi pemain bola sepak
sebenarnya selepas tamat sekolah, tapi apabila gagal menyarung jersi
pemain kebangsaan dan sasaran saya tidak tercapai, saya kecewa!,”
ceritanya.
Dia kemudian memulakan sebuah kehidupan di Kuala Lumpur dengan bekerja sebagai pencuci mesin.
“Kerjaya saya di Kuala Lumpur bermula
sebagai pencuci mesin selama tiga tahun sejak berumur 18 tahun di NSTP
(The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad). Kemudian saya berpindah
ke syarikat penerbangan tambang murah selama tiga tahun sehingga saya
dicabar oleh rakan-rakan untuk mencuba nasib dalam uji bakat Raja Lawak
musim ketiga.
“Apabila ditawarkan menyertai Raja
Lawak, saya dalam dilema sebenarnya. Keluarga tidak menentang, tapi ayah
saya tidak menyokong,” ujar Jep menyusur kembali zon masa silamnya
beberapa tahun ke belakang.
Berbicara mengenai keperitan sebagai
pelawak kata juara Maharaja Lawak 2011 itu, dia berterima kasih kepada
Astro Warna yang telah membekalkan platform khusus kepada pelawak yang
sebelum ini hampir dipandang sepi.
Malah kata Jep, untuk berjaya dalam dunia pelawak, resipinya terletak intipati lawak setiap kali membuat persembahan.
“Pelawak boleh kekal lama asalkan lawak
yang dibuat bukan pada fizikal semata-mata tapi juga dengan perkataan
yang mengandungi unsur-unsur nasihat.
“Pengetahuan mengikut peredaran zaman adalah perlu dan kepelbagaian harus ada untuk melawak,” kongsi Jep.
sumber :kisahbest.org
0 Komentar untuk " Kisah Benar Kehidupan Jep Sepah Sebelum Jadi Pelawak "