Dua remaja berusia 15 dan 13 tahun ditangkap ketika sedang asyik
berdua-duaan dalam sebuah tandas di kawasan kedai makan Medan Nusari,
dekat sini, semalam. Difahamkan, perlakuan sumbang kedua-dua remaja
terbabit disedari beberapa pelanggan kedai makan berkenaan kira-kira jam
10 pagi, semasa mahu menggunakan tandas tersebut yang terletak beberapa
meter dari kedai dan berkeadaan sunyi.
Salah seorang pelanggan hanya mahu
dikenali sebagai Rusydi, 35, berkata, pada mulanya, dia tidak mengesyaki
apa-apa ketika melihat remaja lelaki dan perempuan menaiki motosikal
bersama menuju ke kawasan tandas itu.
“Bagaimanapun, saya mula tidak sedap
hati apabila mendapati motosikal dinaiki kedua-duanya masih berada di
situ, sedangkan kelibat mereka langsung tidak kelihatan sejak 20 minit
lalu.
“Pemeriksaan saya bersama rakan-rakan
dalam tandas lelaki tidak menemui apa-apa. Namun, alangkah terkejutnya
saya kerana ternampak dua pasang kaki dalam keadaan cukup rapat ketika
menjengah dari bahagian bawah salah satu tandas wanita,” katanya.
Menurutnya, selepas dipaksa membuka
pintu, mereka mendapati kedua-dua remaja terbabit sedang berada dalam
tandas berkenaan dalam keadaan mencurigakan. “Melalui penjelasan
diberikan kedua-duanya, difahamkan remaja perempuan yang sedang menuntut
dalam tingkatan satu itu berasal dari taman sekitar kawasan ini,
manakala si lelaki pula datang dari Seremban Dua yang terletak lebih
kurang 6.3 kilometer dari tempat kejadian.
“Mereka juga merayu agar tidak
diserahkan kepada pihak berkuasa dan mengaku tidak akan mengulangi
kesalahan sama pada masa akan datang,” katanya yang menjelaskan, ibu
remaja perempuan itu sampai di lokasi lebih kurang 45 minit kemudian
selepas dihubungi anaknya. Katanya lagi, si ibu langsung tidak menyangka
akan berlaku demikian, memandangkan anaknya ada meminta izin untuk
keluar dengan alasan mahu pergi bersiar-siar.
Kekecohan juga hampir berlaku apabila
bapa kepada remaja lelaki terlibat yang tiba beberapa minit kemudian,
naik angin dan mengugut mahu memukul Sinar Harian yang cuba mendapatkan
maklumat. “Kau siapa? Jangan kurang ajar! Aku belasah kau nanti,”
demikian herdik lelaki dalam lingkungan 40-an itu kepada Sinar Harian,
semalam yang kemudiannya meminta maaf dan mengaku tertekan dengan
perbuatan anaknya.
Tinjauan Sinar Harian, semalam
mendapati, kedua-dua remaja itu diserahkan kepada ibu bapa masing-masing
dan tidak membabitkan pihak berkuasa. Sementara itu, Pengerusi
Persatuan Penduduk Taman Nusari Aman 2 (Natra), Terence Santhanam Beh,
41, berkata, beliau hanya mengetahui insiden itu selepas dimaklumkan
oleh beberapa penduduk.
“Kita kesal dengan kejadian sebegini,
lebih-lebih lagi berlaku pada hari Jumaat yang mulia. Kita harap, ibu
bapa akan dapat mengawasi anak-anak mereka bagi mengelakkan kejadian
seperti ini berulang,” katanya.
sumber : Kisahbest.org
0 Komentar untuk " Anda juga mungkin tidak menyangka dua Remaja ini ' PROJEK' dalam Tandas - Viral-X "